Powered by Blogger.

Jambatan Sadong Bakal Jana Ekonomi Penduduk

Monday, 15 April 2013

PROJEK pembinaan jambatan Batang Sadong
PROJEK pembinaan jambatan Batang Sadong bernilai RM 231 juta yang akan siap sepenuhnya pada tahun 2016 adalah hadiah paling istimewa daripada kerajaan Barisan Nasional(BN) kepada rakyat dalam kawasan Parlimen P200 Batang Sadong.

Jambatan sepanjang 1.5 kilometer merentangi Kampung Sungai Buloh, Sadong Jaya yang kini dalam fasa pertama pembinaan sudah pun siap 20 peratus, bakal  menjadi jambatan terpanjang di Sarawak.

Apabila siap kelak ia bakal memberi manfaat kepada kira-kira 70,000 penduduk sekitar kawasan Sebuyau dan Simunjan, selain membuka lembaran baharu  kepada kegiatan ekonomi penduduk.

Penyandang kerusi Parlimen P200 Batang Sadong Hajah Nancy Haji Syukri berkata,  jambatan baharu itu adalah hadiah yang paling bernilai daripada kerajaan kepada rakyat di kawasan Simunjan dan Sebuyau yang sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan feri untuk ke bandaraya Kuching.




"Pembinaan jambatan Batang Sadong bakal membuka lembaran ekonomi kepada rakyat dalam kawasan Batang Sadong, ia akan menyingkatkan masa penduduk untuk  ke bandaraya Kuching dan merupakan hadiah paling istimewa daripada kerajaan kepada masyarakat di kawasan luar  bandar di negeri ini, "katanya.

Katanya, pembinaan jambatan baharu  sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat di kawasan itu, menyingkatkan lagi perjalanan untuk ke bandaraya Kuching.

"Rakyat sendiri boleh melihat sendiri perkembangan fasa pembinaan jambatan baharu ini, ia menjadi bukti kepada pihak pembangkang yang menyanggah  usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) menepati janji kepada rakyat untuk membina jambatan ini , "jelasnya.

Nancy memberitahu selain daripada projek pembinaan jambatan Batang Sadong banyak lagi projek-projek prasarana dan infrastruktur yang telah dirancang oleh kerajaan untuk kemudahan rakyat di kawasan itu.

"Banyak  pembangunan yang telah saya jalankan di kawasan Batang Sadong yang mungkin orang tidak nampak seperti pembinaan jeti dan jalan raya yang membabitkan kampung-kampung di bahagian dalam yang telah dilaksanakan, "katanya.

Katanya, Batang Sadong terletak di kawasan 5,000 kilometer persegi dengan aktiviti utama penduduknya ialah terlibat dalam aktiviti pertanian seperti penanaman kelapa sawit, selain perikanan.

Nancy memberitahu sejak menjadi wakil rakyat di kawasan Batang Sadong  beliau komited membawa pembangunan untuk terus meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan luar bandar.

"Di bawah BN kualiti hidup rakyat semakin meningkat, kawasan yang dahulunya tidak mempunyai rangkaian jalan raya sudah dihubungkan dengan kemudahan ini seperti Kampung Ensengei, Kampung Sual, Kampung Sungai Lingkau, Kampung Lubok Samsu dan Kampung Sateman, " katanya.

Katanya, selain itu projek yang dilaksanakan di bawah Jalan Perhubungan Desa ialah Kampung Sungai Bilis dan Kampung Sageng.


"Jalan perhubungan lain yang kini dalam proses penyiapan ialah jalan sepanjang 18 kilometer melalui dua jambatan konkrit yang akan menghubungkan Pekan Gedong ke Kampung Sageng, Simunjan.

"Ini akan menyingkatkan masa perjalanan ke Simunjan daripada tiga jam kepada dua jam menerusi lebuh raya Kuching-Serian, "ujarnya.

Menurutnya lagi,projek itu akan memberi lonjakan ekonomi kepada kawasan Simunjan dan Gedong terutamanya dalam bidang pertanian yang akan memberi kelebihan kepada kira-kira 12,000 penduduk tempatan.


Temenggung Anthony anak Nyipa,75, yakin apabila jambatan Batang Sadong siap kelak akan membuka 'lembaran baharu' kepada  kehidupan penduduk di kawasan Batang Sadong khasnya dari segi ekonomi.


Menurutnya,jambatan itu akan menjadi ikon yang cukup penting untuk terus mentransformasikan rakyat di kawasan itu ke arah kehidupan yang lebih.

"Penduduk tidak perlu lagi berbaris berjam-jam menyeberang sungai menggunakan feri untuk ke bandaraya Kuching, membolehkan mereka memasarkan produk perikanan dan pertanian dengan lebih cepat, "katanya yang berasal dari Kampung Semalatong, Simunjan.
 

Malah, katanya, sepanjang di perintah oleh BN rakyat di kawasan itu juga sudah dihubungkan dengan rangkaian jalan raya, elektrik dan bekalan air bersih.

"Penerokaan tanah terbiar yang dimajukan dengan tanaman kelapa sawit telah memberi rahmat kepada penduduk untuk terus melonjakkan pendapatan mereka, "jelasnya.


Sementara itu, Penghulu Jubin Sili Alit, 47, berkata, sepanjang menjadi wakil rakyat di kawasan Batang Sadong banyak perubahan yang telah di bawa kepada rakyat.

"Selain usaha meningkatkan parasana dan infrastruktur beliau cukup komited membantu rakyat yang memerlukan bantuan dan pertolongan khasnya melalui skim bantuan rumah, kebajikan dan sebagainya,

Menurutnya,hubungan yang akrab serta mudah didampingi rakyat menjadi aset penting kepada Nancy untuk berkhidmat dengan  rakyat di kawasan Batang Sadong.

"Kami akan terus menyokong Nancy untuk berkhidmat di sini (Batang Sadong) agar program pembangunan untuk rakyat terus dapat dilaksanakan, "katanya.

Share this article on :
 
© Copyright 2010-2011 Sarawak Update All Rights Reserved.
Template Design by Herdiansyah Hamzah | Borneo Templates | Powered by Blogger.com.