OLEH: A.REEL LEEYA
BELADIN, Khamis - Drahman Chali , 55 yang berasal dari Kampung Beladin, Pusa telah menjadi mangsa terbaharu serangan buaya yang berlaku dalam kejadian dekat sini hari ini.
Mangsa yang bersama rakannya Mohd Nor Bujang, 51 (gambar) menjalankan pekerjaan harian mereka mencari batang rumbia di kawasan sungai berkenaan telah disambar buaya dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 pagi tadi.
Mohd Nor yang ditemui berkata, sebelum kejadian berlaku, dia bersama mangsa hendak bersarapan terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti mereka di tebing sungai tempat mereka mengambil batang rumbia.
Katanya, sebelum mangsa makan, dia ke sungai untuk membasuh tangannya. Namun, beliau telah tergelincir dan terus disambar buaya.
Pada masa yang sama Mohd Nor, cuba untuk menyelamatkan rakannya namun buaya tersebut lebih pantas dan terus menariknya ke dasar sungai dan terus lesap dari pandangan, katanya.
Melihat mangsa tidak timbul, beliau terus mengambil keputusan untuk meminta pertolongan penduduk kampung bagi mencari mangsa.
Katanya, ketika bergegas pulang untuk meminta pertolongan beliau turut menemui kesan telapak kaki buaya tersebut yang dalam anggaran sebesar telapak tangan lelaki dewasa dan sebelah kasut mangsa tidak jauh dari kawasan kejadian.
Sementara itu, pihak polis dari Balai Polis Pusa menjelaskan, setelah menerima laporan daripada Mohd Nor pada jam 2 petang.
Pada masa yang sama gerakan mencari mangsa terus dilancarkan.
Operasi mencari tersebut turut membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan penduduk bagi mencari mangsa yang masih belum ditemui.
"Operasi bermula sejurus setelah mendapat laporan dan ianya tertumpu di sekitar lokasi kejadian, termasuk di beberapa lubuk sungai berkenaan. Setakat ini operasi masih diteruskan untuk mencari mangsa," menurutnya.
