![]() |
| Dalat Petrol Station |
DALAT: Pengguna-pengguna di daerah ini berharap masalah kekurangan minyak disel yang telah lama menghantui masyarakat setempat dapat diatasi dengan sepenuhnya.
Menurut mereka perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana Pekan Dalat sudah mempunyai stesen minyak sendiri yang dijangka mampu untuk menampung keperluan penduduk-penduduk di daerah Dalat ini.
Walau bagaimanapun pendapat tersebut ternyata meleset kerana semenjak stesen minyak itu beroperasi pada tahun 2010 masalah itu tetap masih menghantui mereka terutama sekali pemilik-pemilik kenderaan yang
menggunakan bahan api tersebut.
"Memang tidak dapat dinafikan bahawa semenjak setesen minyak itu beroperasi selama dua tahun yang lalu, ia telah banyak mengatasi masalah bekalan bahan api secara keseluruhan. Namun apa yang masih
menjadi kemusykilan kita ialah masalah minyak disel yang ibaratkan sebagai `sekejap ada sekejap tak ada atau pun On & Off," kata pemandu van, Goh Yew Seng.
Setiap kali bahan api itu habis, pengguna-pengguna di sini terpaksa pergi ke Bandar Mukah yang berada kira-kira 60 kilometer daripada pekan Dalat untk mendapat bekalan yang secukupnya.
"Oleh yang sedemikian, kami harus memestikan bahawa tangki kenderaan kami sentiasa berisi sekurang-kurangnya cukup untuk pergi ke Mukah. Jika tidak, kita terpaksa melupakan sahaja hasrat untuk menggunakan kenderaan berkuasa diesel pada ketika itu.
Bagi kita yang mata pencarian bergantung dengan operasinya kenderaan, untuk berhenti sambil menunggu stok baru di setesen minyak di Dalat adalah sesuatu yang sangat malang kerana ia telah menjejaskan pendapatan kita," ujarnya lagi.
Adalah difahamkan bahawa masalah ketiadaan disel di Dalat itu biasanya berlaku pada minggu terakhir pada tiap-tiap bulan.
Senario itu dipercayai disebabkan oleh bekalan yang tidak mencukupi daripada pihak Petronas yang merupakan pembekal kepada setesen minyak yang berada di Pasar Baru Pekan Dalat itu.
Memandangkan masalah itu telah dikesan dan dapat diatasi, penduduk-penduduk di daerah ini berharap pihak setesen minyak akan membincangkan perkara tersebut dengan pembekalnya kerana ia adalah
merupakan tanggungjawab mereka untuk mempastikan bekalan yang berterusan demi untuk kesejahteraan bersama.
