Powered by Blogger.

Universiti Teknologi di Sibu, Ketua Menteri

Saturday, 31 March 2012

SIBU, 31 Mac (Bernama) -- Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata kerajaan bercadang menubuhkan sebuah universiti teknologi di Sibu bagi menampung keperluan tenaga kerja SCORE.

Berucap pada sambutan ulangtahun ke-110 SMK Methodist Sibu di sini malam tadi, beliau bagaimanapun tidak menyatakan butiran lanjut berhubung penubuhan universiti tersebut.

Namun, beliau menyeru semua pihak di sini agar bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan penubuhannya menjadi kenyataan.

Menurutnya, pada masa sekarang terdapat empat universiti dan banyak pusat latihan perniagaan dan pengurusan di negeri ini.

Katanya, memandangkan Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga kerja terlatih dalam bidang teknikal, tumpuan akan diberikan kepada pendidikan dan latihan teknikal.

(SCORE ialah singkatan bagi Koridor Tenaga Yang Boleh Diperbaharui Sarawak).

Sementara itu, Taib menyatakan rasa bangga dengan kejayaan cemerlang sekolah itu yang ditubuhkan pada 1903 dan mampu bertahan hingga ke hari ini.

“Sibu juga patut bangga kerana tiga ahli perniagaan terkemuka iaitu Datuk Hii Yii Peng (Kingwood Group), mendiang Datuk Sri Lau Hui Kang (KTS Group) dan Tan Sri Tiong Hiew King (Rimbunan Hijau Group) dan ramai lagi, adalah bekas pelajar sekolah ini.

“Manakala dalam arena politik pula (antara) bekas pelajar sekolah ini yang menjadi ahli politik terkemuka ialah Datuk Sri Wong Soon Koh (Menteri Kanan Kabinet Sarawak) dan Datuk Tiong Thai King (Ahli Parlimen Lanang).

"Ini menjadikan sekolah ini sebagai "nursery of successful people”, katanya.

Pada majlis itu beliau mengumumkan peruntukan RM250,000 bagi menampung perbelanjaan membina perpustakaan digital sekolah itu bernilai RM4 juta.
-- BERNAMA  
Share this article on :
 
© Copyright 2010-2011 Sarawak Update All Rights Reserved.
Template Design by Herdiansyah Hamzah | Borneo Templates | Powered by Blogger.com.