Powered by Blogger.

SPDP Mukah Mahu Toyad Dikekalkan

Wednesday, 28 March 2012




MUKAH: Sarawak Progressive Democratic Party (SPDP) di  Kawasan Parlimen 213  Mukah ini berdiri teguh dibelakang  Ahli Parlimen sedia ada, Dato Sri Dr Muhammad Leo Michael Toyad dan berharap dia akan dicalonkan pada pilihanraya umum ke-13 akan datang.

Sokongan itu telah disuarakan dalam  kenyataan bersama kedua-dua wakil daripada   SPDP Cawangan N50 Dalat dan SPDP Cawangan N51 Balingian  pada Sidang Media yang diadakan di sini pada hari Rabu.

Sidang media tersebut telah dikendalikan oleh Saidin Rahman, Setiausaha SPDP Dalat  mewakili Pengerusinya, Ismail Suliman dan  Pengerusi SPDP Balingian Sgt. Major (Bersara), Dairi Matzen.

“Untuk pengetahuan anda semua yang hadir pada hari ini, sidang media ini telah mendapat izin atau `blessing” daripada President SPDP, iaitu Tan Sri Dato Sti William Mawan Ak Ikom. Dan ini adalah untuk menyuarakan sokongan tidak berbelah bagi  SPDP di Kawasan P.213 Mukah ini terhadap Ahli Parlimen sediaada Dato Sri Dr Muhammad Leo Michael Toyad. Dan semestinya juga terhadap BN dan pemimpinnya,” ujar Saidin selaku jurucakap pada majlis ringkas itu.

Beliau berpendapat bahawa pembangunan pesat di Mukah telah membuktikan pemimpin-pemimpin sediaada telah menjalankan tugas yang diamanatkan dengan baik dan percaya mereka boleh membawa lebih banyak lagi pembangunan di kawasan ini.

Justeru itu, katanya, mereka amat berharap bahawa Dr. Toyad akan dicalon oleh Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sarawak pada pilihanraya yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang dan seterusnya mempertahankan kerusi P.213 Mukah dengan kemengan besar.

Tambah Saidin  lagi, mereka telah bersedia untuk turun  padang untuk membantu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB) dan BN  pada pilihanraya akan datang.

“Melalui kesempatan ini, kami juga ingin menyatakan bahawa sokongan kami bukan sekadar melalui `kata-kata’ sahaja, malah bersedia untuk turun padang untuk membantu PBB atau komponen BN lain untuk memastikan kemenangan memihak kepada BN atau Dr. Toyad, khasnya kelak,” katanya lagi.

Bekas ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi(Supreme Council)  SPDP Sarawak, Maslinda Haji Hamidon yang juga hadir pada majlis tersebut, juga menyatakan bahawa semangat setiakawan, perpaduan dan kerjasama yang jitu  di antara parti-parti  komponen seperti dengan PBB, SUPP(Sarawak United Peoples Party), PRS(Parti Rakyat Sarawak)  harus dipertahankan dengan apa jua cara.

“Kita harus mengekalkan hubungan  erat serta semangat setiakawan, perpaduan dan kerjasama yang sediaada diantara parti-parti komponen BN untuk memastikan BN akan tetap memerintah kerana hanya BN yang benar-benar boleh membela nasib rakyat, nusa dan bangsa,” jelasnya.

Sekarang  SPDP Dalat mempunyai lebih daripada 650 ahli yang berdaftar, manakala, SPDP Balingian, lebih daripada 450 ahli.

Parti-parti komponen yang ada di Bahagian Mukah, selain PBB ialah SUPP dan SPDP.

Juga hadir pada sidang akbar itu ialah Dairi Matzen, Timbalan Pengerusi SPDP Balingian, Cr Yusup Tingang dan beberapa ahli daripada kedua-dua cawangan SPDP di dalam Kawasan Parlimen Mukah
Share this article on :
 
© Copyright 2010-2011 Sarawak Update All Rights Reserved.
Template Design by Herdiansyah Hamzah | Borneo Templates | Powered by Blogger.com.