Seorang penghulu untuk kira-kira 5,333 penduduk, itu antara cabaran besar yang kini dihadapi oleh penghulu bagi kaum Penan di Sarawak.
Ketua komuniti
tersebut, Datuk Hasan Sui berkata, setakat ini kaum Penan mempunyai
tiga orang penghulu yang berkhidmat untuk kira-kira 16,000 penduduk majoritinya
tinggal di bahagian Miri dan Belaga.
“Jumlah penghulu yang
ada sekarang tidak dapat menampung jumlah Penan yang begitu ramai dan tinggal
berselerakan di seluruh Sarawak. Kita memerlukan sekurang-kurangnya 10 lagi
penghulu dan pemanca untuk
berkhidmat dan membantu orang Penan di setiap bahagian,” katanya.
Menurut Hasan yang
juga Temenggung kaum Penan, beberapa kawasan
penempatan Penan seperti di
Limbang, Kapit dan Bintulu tidak mempunyai penghulu atau pemanca dan ini
menyukarkan mereka untuk mengikuti program pembangunan yang dilaksanakan oleh
kerajaan.
Ujarnya, beliau sudah
mengemukakan cadangan itu kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Ose
Murang bagi mempertimbangkan cadangan itu.
“Setakat ini saya
sendiri sudah berbincang dengan Ose untuk menambah jawatan penghulu. Saya
berharap dengan pertambahan penghulu danpemanca, pasukan saya lebih kuat dan kami dapat bergembleng
tenaga untuk membantu kaum Penan,” katanya.
Beliau amat berharap
kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan mereka untuk mewujudkan lebih banyak
jawatan penghulu dan pemanca bagi memudahkan mereka mendapat bantuan
dan maklumat pembangunan di negeri ini.