Powered by Blogger.

Harga rumah di Kuching naik menggila

Sunday, 29 January 2012


Dr Jeniri Amir

Seminggu dua ini saya giat berlegar di sekitar bandar raya Kuching, menjelajah satu kawasan ke satu kawasan dengan tujuan untuk meninjau perkembangan projek perumahan. Saya membantu seorang rakan yang ingin membeli rumah yang dalam lingkungan RM300,000. Jadi, saya pergi ke kawasan sekitar Matang, BDC, Stutong, Batu Tujuh dan Kota Samarahan.

Mencari rumah pada hari ini, bukannya tugas yang mudah. Saya ke Stutong dan mendapati rumah-rumah di situ begitu moden, indah dan teratur kawasannya. Saya dapati bahawa itu merupakan antara kawasan perumahan yang paling menarik di bandar raya Kuching ketika ini.

Semua rumah yang dibina  di kawasan Stutong– rumah berkembar dua tingkat, rumah teres setingkat dan dua tingkat telah habis dijual, kecuali satu unit. Di luar unit rumah teres setingkat itu terdapat notis “For Sale” dengan nombor telefon.

Saya berpusing-pusing di kawasan itu beberapa kali dan bernasib baik apabila dalam pusingan terakhir saya dapati pagar rumah dan juga rumah berkenaan telah dibuka. Saya bertemu dengan pemajunya, seorang Cina dalam usia 50-an, dan langsung bertanya harga. Beliau memberitahu saya bahawa harganya ialah RM300,000.

Saya agak terkejut, kerana rumah teres satu tingkat yang kecil dengan tiga buah bilik, diletakkan pada harga begitu tinggi. Rumahnya tidaklah begitu moden dan cantik dari segi reka bentuk berbanding dengan rumah-rumah lain di sekitarnya.

Setelah beberapa minit berada di dalam rumah itu, dua keluarga lain turut memasukinya dan bertanya harganya. Mereka, seperti saya, juga sedang giat mencari rumah untuk dibeli. Mengikut pemaju itu, sukar hendak membina rumah  di sekitar itu sekarang, kerana masalah ketiadaan tanah.

Selepas itu, saya pun pergi ke kawasan Kedandi, dan mendapati kawasan rumah di situ juga tidak kurang menarik. Saya mendapati sebuah rumah sedang dalam pembinaan, justeru berhenti seketika untuk bertanya kepada seorang pemaju yang kebetulan berada di situ. Beliau memberitahu saya bahawa harga rumah berkenaan ialah RM1 juta ringgit, dimiliki oleh seorang ahli perniagaan.

Satu point tanah di situ, kata beliau, berharga RM20,000. Jadi, untuk tanah sahaja ahli perniagaan itu membeli RM600,000. Maksudnya, harga rumah itu ialah RM1.6 juta. Rumah itu dibina sendiri. Bayangkan harganya jika rumah itu dibina untuk dijual kepada orang ramai, sudah pasti harganya sekurangnya-kurangnya RM2.5 juta.

Sekali-sekala saya menelefon nombor syarikat yang iklannya terpampang di sepanjang jalan di sekitar kawasan BDC. Ada rumah yang dibina di Batu Kawa, manakala yang lain dibina di sekitar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Mengikut pemaju berkenaan yang telefon mereka saya hubungi, rumah teres berharga sekitar RM400,000, manakala rumah kembar dua tingkat berharga RM700,000 ke atas.

Dua minggu lepas saya turut meninjau kawasan perumahan baharu berdekatan dengan UNIMAS. Semua rumah teres dan rumah berkembar dua tingkat sudah habis dijual. Dan yang tinggal ialah apartmen, yang mengikut seorang kawan yang membelinya pada tahun lepas, berharga sekurang-kurangnya RM150,000.



Pada Hari Tahun Baru Cina pertama, saya sempat berkunjung ke rumah seorang ahli keluarga yang kebetulan tinggal tidak jauh dari kawasan itu. Rumah yang dibeli pada tahun lalu oleh seorang jurutera kerajaan itu berharga RM315,000, jauh lebih baik dari segi reka bentuk, malah lebih besar, selain teres dua tingkat berbanding dengan rumah teres setingkat yang saya nyatakan awal tadi.

Dalam seminggu dua ini juga, saya sering membelek halaman iklan akhbar tempatan untuk melihat projek perumahan baharu dan membandingkan harga yang ditawarkan. Kesimpulan saya ialah, harga rumah di Sarawak telah melonjak menggila dalam tempoh sepuluh atau lima belas tahun lalu, berbanding dengan negeri-negeri lain.

Ketika membeli 'rumah murah' projek kerajaan pada 1982 dahulu saya hanya perlu membeli dengan harga RM57,000 bagi rumah teres dua tingkat, manakala jiran-jiran saya yang membeli rumah sebuah-sebuah perlu membayar RM160,000. Ketika itu, saya berdepan dengan kesukaran untuk membayar pendahuluan RM1,000, maka membeli rumah sebuah-sebuah adalah sesuatu yang di luar kemampuan.

Ketika itu, saya berpendapat  hanya ahli perniagaan atau pegawai kanan kerajaan sahaja yang mampu membeli rumah yang berharga RM150,000 ke atas. Sekitar sebulan lalu, seorang rakan, yang juga seorang jiran di rumah berkenaan ingin meminta bantuan saya untuk menjual rumah itu. Harga yang diletakkan oleh beliau ialah RM600,000. Mengambil kira kawasan dan harga pasaran sekarang, saya fikir harga itu boleh dianggap begitu murah kerana rata-rata harga rumah sedemikian di Kuching sekarang ialah RM1 juta ke atas.

Seorang kawan yang membeli rumah kembar dua tingkat di kawasan Petrajaya pada 1998 hanya perlu membayar RM230,000. Lapan tahun kemudian rumah sedemikian di kawasan yang sama sudah melonjak ke RM380,000.

Sekitar 15 tahun kemudian, dengan RM230,000, dia tidak pun dapat membeli sebuah rumah teres satu tingkat.

Apakah yang menyebabkan harga rumah di Kuching begitu menggila kenaikannya? Adakah kerana permintaannya melebihi penawaran sehinggap pemaju mengambil kesempatan dengan memanipulasikan harga sewenang-wenangnya?

Atau, seperti kata pemaju tadi, tanah emakin sukar diperoleh khususnya di kawasan strategik dan digemari ramai. Kalau adapun, harga tanah sudah pun di luar jangkauan ramai. Misalnya, ketika menelefon seorang pemilik tanah di hadapan UNIMAS, saya “terkejut beruk” apabila dimaklumkan bahawa harga tanah seekar di situ ialah RM1.1 juta. Bayangkanlah harga tanah di kawasan BDC dan Stutong? Harga tanah dijangka akan terus meroket dalam lima tahun.

Pada 1990 harga tanah di situ hanya sekitar RM15,000 hingga RM25,000. Itu pun, kata orang ketika itu, harganya sudah terlalu tinggi dan mahal! Saya bernasib baik kerana membeli beberapa ekar tanah yang dijual oleh penduduk di kawasan Samarahan pada awal tahun 1990-an. Ya, bagi saya, selain rumah, tanah merupakan sejenis pelaburan paling baik.

Atau harga bahan pembinaan, termasuk simen sudah naik berkali-kali ganda. Atau memang harga buruh pembinaan juga telah berlipat ganda?

Sesetengah pihak mengatakan, ada orang yang membeli rukmah untuk tujuan spekulasi.
Mereka membeli banyak rumah sekali gus, dan kemudian menjualnya semula kepada pihak lain yang amat memerlukan rumah dengan harga yang lebih tinggi, bergantung kepada jenis rumah, tetapi rata-rata antara RM30,000 hingga RM150,000. 

Jika betul, bayangkan jumlah keuntungan yang dapat diraih oleh individu berkenaan. Jadi, tidak hairanlah rumah sudah dijadikan sebagai perniagaan yang menguntungkan bagi sesetengah pihak yang mempunyai banyak wang. 

Seorang pemaju perumahan mengatakan, permintaan terhadap rumah memang sentiasa ada di bandar raya ini, kerana bukan sahaja mereka yang bermastautin di Kuching yang membeli rumah, tetapi mereka dari bandar-bandar lain seperti Sibu, Miri dan Bintulu.

Sesetengah mereka membeli tiga unit sekali gus dengan pelbagai tujuan, termasuk untuk kediaman sendiri dan juga pelaburan. Sesunggguhnya, membeli rumah untuk tujuan pelaburan merupakan satu tindakan yang bijak, lebih-lebih lagi  bagi mereka yang mempunyai banyak tunai dan tidak perlu meminjam daripada bank.

Bagaimanakah keadaannya pada masa depan? Berapakah harga sebuah rumah teres satu tingkat dalam masa sepuluh tahun lagi? Berdasarkan trend peningkatan harga sekarang, saya tidak terkejut jika harganya mencecah setengah juga ringgit pada waktu itu nanti.

Dengan harga yang begitu tinggi pada waktu itu, kebanyakan anak muda tidak akan lagi mampu membeli rumah. Penjawat awam berjawatan rendah akan berdepan dengan kesukaran. Kecualilah, ya jika gaji mereka dinaikkan bersekadar dengan kenaikan kos sara hidup, sesuai dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan negara ini negara berpendapatan tinggi. Tetapi, apalah maknanya jika  harga rumah, kos pengangkutan, kereta, makan minum juga tinggi?

Kepada anak muda saya sering berpesan agar membeli rumah terlebih dahulu sebaik sahaja mereka sudah mendapat pekerjaan tetap. Jangan fikirkan untuk membeli kereta mewah dahulu, kerana harga rumah, berdasarkan pengamatan saya, purata naik sekitar RM10,000 setahun sejak 15 tahun lalu. Anda kirakan sendiri harga rumah yang kini sekitar RM500,000 dalam sepuluh tahun lagi?

Jadi, sebelum terlambat, anda perlu segera membeli rumah untuk menjamin masa depan anda, selain sebagai tempat untuk berlindung daripada panas dan hujan.

Penulis ialah pensyarah kanan di Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak.
Share this article on :
 
© Copyright 2010-2011 Sarawak Update All Rights Reserved.
Template Design by Herdiansyah Hamzah | Borneo Templates | Powered by Blogger.com.