Peranan belia dan
generasi muda pada masa kini sangat penting dalam menampilkan kesatuan,
perpaduan dan keutuhan agama dan bangsa.
Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam berkata, adalah sangat penting agar
golongan ini dididik dengan sebaiknya agar mereka tidak terpesong dengan
pemahaman yang ekstrim sehingga membawa kepada perpecahan kaum.
"Untuk mendidik
golongan ini, kita (umat Islam) perlu mengambil iktibar daripada
peristiwa lampau dan kembali mengambil Rasulullah sebagai contoh ikutan dalam
kehidupan agar benar-benar menjadi umat dan mukmin yang hebat.
"Maka,
penganjuran program seperti hari ini di kalangan pelajar Institut Kemahiran
Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) amatlah dialu-alukan dan disokong dalam usaha
mempertingkatkan kefahaman terhadap ajaran Islam di samping memberikan contoh
terbaik dalam kalangan pelajar seterusnya penduduk desa atau kampung terlibat
tentang amalan agama," katanya.
Beliau berkata
demikian semasa Majlis Perasmian Penangguhan Program Menyemai Bakti IKMAS Ke-10
bertempat di Lobi Pejabat Residen Betong di sini hari ini.
Majlis dengan
kerjasama Pejabat Residen Bahagian Betong dan Jabatan Agama Islam Sarawak
(JAIS) Betong itu turut dihadiri oleh Pengarah JAKIM Cawangan Sarawak, Abdul
Hamid Mohammed Salleh, Pegawai Agama Islam Bahagian Betong, Aswad Osen,
Ketua-ketua kaum, ibu bapa angkat dan pelajar IKMAS.
Tambah Razi, umat
Islam perlu sentiasa menyiapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan
kerana sikap sambil lewa, membuang masa dan takut bersaing adalah nilai negatif
yang boleh menjejaskan usaha membentuk jati diri mukmin sejati.
"Ilmu dan
kemahiran penting untuk maju. Jadi, carilah ilmu dan kemahiran itu dan
janganlah duduk bermenung menunggu hari mendatang kerana semuanya tidak akan
datang bergolek tanpa usaha," jelasnya.
Menurutnya lagi, kita
di negara ini juga cukup bertuah kerana walaupun terdiri daripada pelbagai kaum
dan pegangan agama tetapi dapat hidup dengan harmoni dan tolenrasi.
"Inilah
kelebihan Malaysia berbanding negara lain di seluruh dunia. Masyarakat pelbagai
kaum di negara ini saling hormat-menghormati perbezaan budaya dan agama kaum
masing-masing. Inilah yang kita mahu dan berharap agar ianya dikukuhkan dan
dikekalkan untuk kebaikan kita bersama," ujarnya.
Terdahulu, Pengarah
JAKIM Cawangan Sarawak, Abdul Hamid Mohammed Salleh mengucapkan terima kasih di
atas kerjasama yang diberikan oleh penduduk 11 kampung yang terlibat iaitu
Beladin, Dit, Buda, Gerigat, Empelam, Kupang, Tuie, Pepat, Mangut, Tambak dan
Paloh dalam menjayakan program tersebut.
Menurutnya, program
berslogankan 'Persefahaman asas perpaduan' itu adalah kursus wajib di bawah Kursus
Amali Dakwah kepada pelajar Diploma Pengajian Islam dan Dakwah, IKMAS sebagai
syarat untuk bergraduat.
"Jadi, kami
daripada pihak penganjur sangat berharap agar dengan adanya program seperti ini
kepada pelajar, dapatlah mendidik mereka untuk lebih memahami masyarakat
seterusnya mengekalkan perpaduan dan mengelak mereka daripada tetrjebak dengan
masalah moral dan gejala sosial," katanya.
Dalam majlis itu,
seramai 79 pelajar IKMAS telah berjaya menamatkan kursus tersebut dengan
jayanya dan di akhiri dengan perpisahan pelajar dengan keluarga angkat mereka.