Powered by Blogger.

Penduduk : Benteng Roboh, BDA :Luar Bidang Kuasa

Wednesday, 28 December 2011




Bimbang dengan keselamatan keluarga dan kemungkinan kediaman mereka dihempap dinding simen dan pokok kayu ara yang hampir tumbang, seorang penghuni di Lorong A12 RPR Sibiew di sini meminta tindakan segera serta keprihatinan pihak berkaitan untuk segera menangani masalah tersebut.

Menurut Mohd. Rahini Rafiee, masalah tersebut pernah beliau suarakan kepada pihak berkaitan terutamanya Lembaga Kemajuan Bintulu, namun sehingga kini tiada tindakan yang diambil sebaliknya, jawapan yang diterima agak mengecewakan di mana pihak terlibat mengatakan perkara tersebut di luar bidang kuasa mereka.

Keadaan tersebut, katanya, amat membimbangkan terutama pada waktu malam memandangkan dinding simen tersebut boleh tumbang bila- bila masa sahaja lebih- lebih lagi melihat kepada keadaan cuaca hujan pada masa ini walaupun ia(dinding) bersandar pada pokok kayu ara yang tumbuh di celah- celah dinding tersebut.

Beliau yang telah empat tahun tinggal di kawasan perumahan tersebut hanya menyedari keadaan tersebut sejak beberapa bulan kebelakangan ini ekoran tidak pernah menjenguk bahagian laman belakang kediamannya.

Sebaliknya, hanya menyedari masalah tersebut semasa mengunjungi kediaman rakannya yang kebetulan tinggal bersebelahan dengannya sambil melahirkan kebimbangan kemungkinan keadaan akan menjadi bertambah serius sekiranya hujan lebat dan tanah runtuh.

Share this article on :
 
© Copyright 2010-2011 Sarawak Update All Rights Reserved.
Template Design by Herdiansyah Hamzah | Borneo Templates | Powered by Blogger.com.