Powered by Blogger.

Didik Anak Dengan Ajaran Sebenar

Monday, 25 July 2011



oleh  A. Reel Lee Ya


Anak-anak merupakan amanah Allah yang perlu dididik dengan sebaiknya sejak ia kecil lagi supaya apabila besar kelak menjadi anak yang soleh dan sentiasa taat kepada kedua ibubapanya. Mereka ibarat kain putih dan ibubapalah yang berperanan mencorak dan melukiskannya dengan warna-warna menarik yang menjadi amalan dan cara hidup Islam.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam berkata, pada peringkat usia antara lima hingga tujuh tahun memerlukan teknik pendidikan yang lebih luas dan menyeluruh. Pengisian antara keperluan rohani dan jasmani perlu didedahkan serentak dan diseimbangkan.

Jelasnya, teknik pembelajaran dan pengajaran perlu menggunakan kaedah yang sesuai dengan kanak-kanak biasanya akan belajar berdasarkan pemerhatian iaitu apa yang dilakukan oleh individu disekelilingnya terutama ahli keluarga.

Tambahnya lagi, pada peringkat ini anak-anak wajar didedahkan dengan latihan menulis, membaca, mengira dan berbahasa. Pendidikan yang wajar didedahkan pada peringkat ini adalah bab ibadah dan akhlak.

Razi berucap merasmikan majlis Ujian Hafazan Surah Al-Fatihah dan Ayat-ayat Lazim Kanak-kanak Tabika KEMAS Kampung Tengah Betong semalam.

Beliau turut menegaskan bahawa umat Islam harus menghayati ajaran Islam yang sebenar dalam memperkukuhkan persaudaraan dan perpaduan supaya mereka terus menjadi umat yang terbilang. Penghayatan terhadap ajaran Islam juga mampu memperlihatkan keindahan, kehebatan dan keunggulan syariat Islam.

“Tanpa menghayati ajaran islam yang sebenar, umat Islam tidak akan mampu menjadi umat contoh, bahkan akan terus dihina dan diperlekehkan.

“Pelajari sejarah keagungan tamadun Islam yang dahulunya hebat dan gagah akhirnya tersungkur kerana berlakunya perpecahan, pergeseran dan persengketaan antar penganutnya yang tidak mengamalkan ajaran Islam
sepenuhnya.

“Oleh itu, umat Islam kini perlu mengambil iktibar daripada peristiwa lampau dan kembali mengambil Rasulullah sebagai contoh ikutan dalam kehidupan agar kita benar-benar umat dan mukmin yang hebat”

Sementara itu, beliau menyeru umat islam disini perlu sentiasa menyiapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan agar mampu bersaing di peringkat global.

“Sikap sambil lewa, lepak membuang masa, tidak mahu berusaha dan takut bersaing boleh menjejaskan usaha membentuk jati diri mukmin sejati, katanya.

Majlis tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Pemuafakatan Ibu Bapa dan Guru Tabika KEMAS Kampung Tengah Betong dengan kerjasama Komuniti Satu Malaysia Kampung Melayu Betong. Majlis yang diadakan di Dewan Al-Husna Masjid Jamek Betong turut dihadiri kira-kira 200 ibubapa pelajar serta jemputan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penyelia Kanan Kemas Daerah Betong Khusaini bin Bujang, Penyelia Prasekolah Kemas daerah Betong Norzianti Tenang selain Pengerusi Pemuafakatan Ibubapa dan Guru Tabika KEMAS Kampung Tengah Betong Abdul Rahim Jaini, Pengerusi Komuniti Satu Malaysia Zulrushdi Zakaria dan Pengerusi Program Nayan Yamin.
Share this article on :
 
© Copyright 2010-2011 Sarawak Update All Rights Reserved.
Template Design by Herdiansyah Hamzah | Borneo Templates | Powered by Blogger.com.