Powered by Blogger.

e-KEHAKIMAN akan percepatkan kes-kes mahkamah di Sarawak

Thursday, 30 June 2011

KUCHING, Rabu:-    Projek eKehakiman Sabah dan Sarawak merupakan satu sistem yang telah direka khas untuk mempertingkatkan kecekapan mahkamah dalam mengendalikan kes-kes yang difailkan.  
    

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Projek eKehakiman Sabah dan Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuching, Petra Jaya, dekat sini hari ini.
    

Majlis dibuat secara lintas langsung serentak di Mahkamah Kota Kinabalu.
    

Seiring dengan perkembangan dan keperluan teknologi maklumat oleh Badan Kehakiman, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri pada akhir Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9) telah menganugerahkan projek eKehakiman Sabah dan Sarawak kepada syarikat Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) dengan kos RM37.4 juta.
    

Datuk Liew menambah sehingga kini, sebanyak 31 lokasi mahkamah iaitu 14 lokasi di Sarawak dan 17 di Sabah telah dilengkapkan dengan kemudahan Court Recording and Transription (CRT) sistem, prosiding mahkamah yang sebelum ini direkodkan secara manual telah pun beralih kepada bentuk audio dan video yang membantu dalam mempercepatkan proses perekodan.
    

Antara komponen-komponen yang terdapat dalam sistem tersebut adalah CRT, Case management System (CMS), Court Advocate Resource Engagement (CARE), Community and Advocates’ Portal (CAP) serta Mahkamah Teknologi.
    

Semua 31 lokasi yang terlibat dengan projek tersebut dihubungkan dengan kemudahan infrastruktur rangkaian Sarawak*Net di Sarawak dan IP VPN di Sabah.
    

“Melalui komponen CMS, urusan pendaftaran kes oleh firma guaman dapat dipercepatkan di mana firma guaman boleh memfailkan kes secara atas talian atau online,” tambahnya.
     

Datuk Liew berkata, bagi tempoh Jun hingga Disember 2010, sebanyak 303 buah firma guaman Sabah dan Sarawak telah mendaftarkan sebanyak 9,757 kes menggunakan kemudahan sistem tersebut.
    

Dalam RMK-10, kerajaan Persekutuan sedang dalam usaha untuk mendapatkan peruntukan bagi penambahbaikan komponen-komponen yang terdapat dalam sistem eKehakiman Sabah dan Sarawak serta perluasan sistem bagi Semenanjung Malaysia.
    

Satu sesi sidang video bersama Mahkamah Kota Kinabalu dan sidang media serentak juga diadakan dan dihadiri oleh Timbalan Menteri.   
    

Antara yang hadir Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Seri Panglima Richard Malanjum, Hakim Mahkamah Tinggi Kuching, Sangau Gunting, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Dato’ Abdul Rahman Sebli, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Datuk David Wong Dak Wah, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuching, Rhodzariah Bujang dan Ravinthran Paramaguru, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Dato’ Hashim Hamzah, Ketua Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undanag, Dato’ Saripuddin Kasim, Ketua Pegawai Eksekutif SAINS, Dato’ Teo Tien Hiong, Ketua-Ketua Jabatan dan warga mahkamah

Share this article on :
 
© Copyright 2010-2011 Sarawak Update All Rights Reserved.
Template Design by Herdiansyah Hamzah | Borneo Templates | Powered by Blogger.com.